Keharuman Majlis Selawat keatas Nabi sollallahu ‘alaihi wassalam.

0
1,782 views
Subscribe to our free newsletters to get Events, Infaq and Mufti live updates.
Invalid email address
We promise not to spam you. You can unsubscribe at any time.

This article is republished with permission by Ustaz Muhammad Mazdiuky
Source >>Click here

Allah subhanahu wa ta’ala berfirman : “Katakanlah dengan fadhlullah (kurniaan Allah) dan rahmatNya hendaklah (dengan itu) mereka bergembira!” Surah Yunus, ayat 58.

Para ulama’ tafsir telah memberikan berbagai-bagai tafsiran untuk kalimah fadhlullah dan rahmat.

Sesungguhnya kelebihan dan rahmat Allah subhanahu wa ta’ala itu berbagai-bagai, tidak terbatas dengan satu perkara atau satu tafsiran sahaja.

Sebahagian ahli tafsir menyatakan bahawa erti fadhlullah itu adalah ilmuRahmat pula adalah Sayyidina Muhammadsollallahu ‘alaihi wassallam sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam Suyuti dalam tafsirnya “ad-Durrul Mansur” bahawa Abu Shaykh telah menyatakannya sebagai salah satu tafsiran antara beberapa tafsiran yang dinisbahkan kepada Sayyidina Abdullah ibnu Abbas radiyallahu ‘anhuma.

Sungguh Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassallam adalah satu rahmat yang dianugerahkan Allah kepada sekalian alam. Bahkan baginda adalah rahmat Allah yang paling agung sebagaimana firman Allah subhanahu wa ta’ala : “Dan tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Nabi) melainkan sebagai rahmat bagi semesta alam.” Surah al-Anbiya’, ayat 107.

Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassallam juga telah bersabda : “Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah rahmat yang dikurniakan (dikurniakan Allah kepada kamu sekalian).” HR Imam al-Hakim, dihukumkan sahih oleh  al-Imam Suyuti di dalam kitab al-Jami’ as-Saghir.

 

Oleh itu sewajarnya kita bergembira dengan anugerah rahmat Allah ini.

Antara cara untuk menyatakan kegembiraan ini ialah dengan selalu bahkan senantiasa kita ingat dan memperingati Sayyidina Muhammad sollallahu ‘alaihi wassallam dan tidak dapat dinafikan bahawa majlis pembacaan maulid baginda adalah salah satu majlis di mana Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassallam diperingati, disebut-sebut, dipuji, disanjung, dikenali, dicintai justeru diikuti sebagai contoh tauladan yang paling unggul.

Majlis di mana nama Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassallam adalah satu majlis yang besar, yang agung lagi harum semerbak baunya, sebagaimana penjelasan ulama’.

Sayyidul Ulama al-Hijaz Shaykh Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam kitabnya “as-Simarul Yani`ah fir Riyadhil Badi`ah” menyatakan bahawa antara masa dan tempat yang diharapkan qabulnya doa permohonan kita ialah pada perhimpunan-perhimpunan kebajikan (majãmi-`ul khair) seperti majlis-majlis pembacaan maulid Nabi sollallahu ‘alaihi wassallam.

Berkata al-Imam al-‘Allamah al-Hafidz ‘Abdur Rahman al-Baghdadi al-Hanbali, dilahirkan pada tahun 510H dan wafat pada 13 Ramadhan 597H di dalam kitabnya “Bustanul Wa`idzin wa Riyadhus Sami`in” mengenai keistimewaan majlis di mana selawat dan salam diucapkan ke atas Sayyidina Muhammad sollallahu ‘alaihi wassallam : Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassallam bersabda, “Tidak duduk (yakni hadhir) sesuatu kaum dalam sebuah majlis kemudian mereka berpisah atau bersurai tanpa berselawat ke atasku melainkan perpisahan mereka itu atas bau busuk seperti bau bangkai himar.” HR Imam Ahmad, dihukumkan sahih oleh  al-Imam Suyuti di dalam kitab al-Jamĩ’ as-Saghĩr.

Kata al-Imam lagi : Apabila sesuatu majlis di mana para hadhirin yang menghadhirinya tidak berselawat ke atas Rasulullsh sollallahu ‘alaihi wassallam di dalamnya, akan menyebabkan mereka berpisah atau bersurai atas bau busuk seperti bau bangkai himar (keldai), maka tidaklah menghairankan jika majlis yang di dalamnya diucapkan ucapan-ucapan selawat ke atas Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassallam akan menyebabkan para hadhirin yang menghadhirinya mendapat bau wangi yang paling harum dan paling baik. Dan yang sedemikian itu adalah kerana Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassallam adalah makhluk yang terbaik dan yang paling suci, yang mana apabila baginda bersabda dalam sesuatu majlis, nescaya penuhlah majlis tersebut dengan bau harum mewangi semerbak kasturi.

Oleh itu, marilah kita berusaha sedaya upaya untuk selalu menghadhirkan diri dalam majlis-majlis maulid dengan memperbanyakkan ucapan selawat dan salam serta mendoakan kebajikan diri dan ummat sekaliannya.

Adat dunia ada lawannya, jika ada yang tidak suka hadhir, maka biarkanlah mereka dengan pendapat dan pandangan mereka, mudah-mudahan mereka juga akan membiarkan kita beramal dengan tenang tanpa cemuhan dan sindiran, tanpa fitnah dan tohmah.

Yang sedihnya, ada diantara orang yang bila melihat ummat Islam memuji Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassalam

mereka menuduh ummat Islam mendewa-dewakan Nabi, mereka kata ummat Islam menyamakan Nabi dengan Allah subhanahu wa ta’ala. Kita harus berwaspada agar jangan terpedaya dengan kata-kata segolongan yang suka membid`ahkan amalan orang lain.

 

Kita ada pegangan kita dan kita ada ulama’ yang menjadi sandaran kita, bukan satu, bukan dua tetapi sangat ramai. Bak kata al-Allamah al-Fadhil Shaykh Nuruddin al-Banjari, amalan ini telah diamalkan zaman berzaman oleh bukan sahaja orang awam tetapi para ulama ummat ini.

Orang yang mencerca amalan yang telah dipandang baik oleh ummat ini besar kemungkinan mereka belum faham kedudukan yang sebenar.

Janganlah dibahas atau berdebat dengan mereka, habis umur kita untuk tujuan tersebut dan sia-sialah masa kita.

Apa yang penting kita tetap menyatakan ialah pegangan kita, ulama’ kita, hujjah kita dan kita nasihatkan mereka agar berlapang dada dengan khilafiyyah ini serta hentikan fitnah dan tohmah terhadap amalan dan ulama’ kita.

Wallahu ta’ala a’lam wasollallahu ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala Aalihi wa Sahbihi wassalam walhamdulillahi Rabbil ‘Aalamin.

oleh Ustaz Muhammad Mazdiuky

 

Subscribe to our free newsletters to get Events, Infaq and Mufti live updates.
Invalid email address
We promise not to spam you. You can unsubscribe at any time.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.