Fadhilat Perbankan Islam di Singapura

0
1,311 views
Subscribe to our free newsletters to get Events, Infaq and Mufti live updates.
Invalid email address
We promise not to spam you. You can unsubscribe at any time.

Tak kenal maka tak cinta. Itu adalah ungkapan yang amat sesuai untuk menggambarkan keadaan masyarakat Islam di Singapura. Dalam konteks hidup bermasyarakat majmuk, berbilang kaum dan budaya, konsep saling hormat dan menghormati telah diterapkan pada setiap penjuru. Tidak ketinggalan juga menghormati pilihan pengguna di dalam aspek pengurusan kewangan dan muamalat.

Ini menimbulkan satu persoalan penting bagi masyarakat Islam di Singapura – adakah mereka peka akan kewujudan solusi perbankan Islam dan fadhilatnya pada ekonomi negara?

Nukilan dari Berita Harian dua tahun lepas menyatakan bahawa permintaan kewangan Islam di Singapura masih mantap walau agak perlahan. Hal ini sudah menjadi igauan dengan adanya rentak pertumbuhan yang giat, termasuk inisiatif dalam negeri untuk memahami kecenderungan masyarakat Islam.

Perbezaan antara Perbankan Islam dan Perbankan Konvensional

Sistem kewangan masa kini telah mengalami transformasi yang lebih terbuka, termasuk produk dan perkhidmatan yang berlandaskan prinsip patuh Syariah (Syariah-Compliant) untuk masyarakat secara umum, tidak kira bangsa atau agama.

Institusi perbankan merupakan sebuah mekanisme untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan kewangan seperti simpanan, pinjaman, pelaburan dan perbendaharaan korporat (corporate treasury). Tidak tersimpang jauh daripada sistem asal, perbankan Islam juga wujud untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan bank, khususnya dengan cara yang berlandaskan kepada hukum syarak.

Secara ringkas, perbankan Islam merupakan sebuah sistem kewangan yang bebas daripada riba, atau apa sahaja yang berhubung kait dengan akad-akad atau kontrak yang menyebabkan seseorang itu berkecimpung kepada pemberian, pengurusan atau penerimaan harta wang dari sudut yang tidak boleh diterima oleh Syarak. Ciri-ciri lain termasuk unsur perjudian (maisir) dan unsur ketidakpastian (gharar).

Walaupun perbankan konvensional dan perbankan Islam kelihatan tidak mempunyai perbezaan sekilas pandang, keduanya secara hakiki tidak sama. Secara ringkas, kewangan Islam memerlukan pembiayaan yang disediakan berdasarkan prinsip akad yang munasabah, seperti sewa, jual-beli atau perkongsian keuntungan dan kerugian. Di bawah undang-undang Islam, pembiayaan boleh disediakan melalui beberapa jenis kontrak. Setiap jenis kontrak menentukan bagaimana risiko dikongsi antara institusi perbankan dan pelanggan, sama ada perusahaan ataupun individu.

Sebaliknya, dengan pinjaman konvensional (lending), akan timbul unsur riba atau faedah (interest). Riba sangat merbahaya kerana beberapa sebab, di antaranya adalah ia:

  • Mempunyai ciri ketidakadilan, kezaliman dan eksploitasi
  • Menyebabkan inflasi ekonomi
  • Mencerminkan sifat tamak kepada si pemakan riba
  • Membawa kepada kesan trauma kepada si pembayar riba
  • Dilarang dalam agama-agama semetik

Justeru, nilai-nilai etika dan moral yang lebih luas mengekori Syarak dalam kewangan juga diambil kira bagi perbankan Islam. Tanpa memandang jauh, dana dan simpanan oleh para pengguna hanya boleh diperuntukkan kepada biaya perniagaan patuh Syariah sahaja yang lulus kriteria dan pemeriksaan kelayakan berpandukan Syarak (Syariah screening). Oleh yang demikian, bank-bank Islam dilarang untuk berkecimpung dengan perniagaan hiburan dan arak seperti yang dilakukan oleh perbankan konvensional.

Pemahaman ringkas ini memadai bagi masyarakat awam untuk membuat pilihan di antara sistem kewangan konvensional atau system yang berlandaskan Syarak.

Akaun Simpanan Individu Patuh Syariah di Singapura

Walaupun perbankan Islam telah kukuh di Singapura sejak awal 1990-an, tidak ramai yang tahu tentang kewujudan produk perbankan Islam untuk individu. Ini kerana mungkin media semasa serta asatizah tempatan kurang memberikan tumpuan yang sewajarnya.

Pada hakikatnya, terdapat beberapa produk perbankan Islam untuk individu yang agak menarik dan sudah ditawarkan di Singapura melalui beberapa bank.  Malah, bank-bank tersebut telah mendapat sokongan secara rasmi dari ahli panel Syariah.

Secara keseluruhan, terdapat 3 bank di Singapura yang menawarkan produk perbankan Islam untuk individu, iaitu Maybank, CIMB dan OCBC. Di Maybank, ahli panel terdiri daripada Dr. Aznan Hasan, seorang pakar Syariah terkenal dari Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Ustaz Kamal Mokhtar, Anggota Lembaga Skim Pengiktirafan Asatizah Singapura (ARS) dan lain-lain. Di CIMB, ahli panel terdiri daripada Sheikh Professor Dr. Mohammad Hashim Kamali, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Pengajian Lanjutan Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS), Sheikh Dr. Nedham Yaqoobi, seorang pakar Syariah kewangan Islam yang terkenal di Dow Jones Islamic Market Indices dan AAOIFI, dan lain-lain.

Antara produk-produk perbankan Islam untuk individu yang ditawarkan di Maybank adalah ‘Ar-Rihla Regular Savings Account-i’. Ia ditawarkan untuk membantu pelanggan mendapatkan penabungan awal bagi mempersiapkan diri mereka untuk perjalanan ke tanah suci Mekah dan Madinah.

Bukan itu sahaja, bank OCBC, sebagai perintis, ada menawarkan perkhidmatan yang unik. Sebagai contoh, pelanggan boleh menunaikan zakat melalui akaun ‘OCBC Al-Wadiah’. Berdasarkan ‘haul’ dan ‘nisab’, pemegang akaun OCBC Al-Wadiah dapat bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura sebagai pengedar zakat kepada asnaf yang layak menerima bantuan. Kebanyakan produk simpanan yang dikeluarkan oleh kedua-dua bank tersebut adalah berlandaskan konsep wadiah (safekeeping).

Sementara itu, CIMB juga ada menawarkan produk perbankan Islam untuk individu seperti CIMB FastSaver-i Account, CIMB StarSaver-i Account dan CIMB Why Wait Fixed Deposit-i Account. Produk simpanan CIMB yang patuh Syariah boleh memberi pelanggan keuntungan yang tinggi. Ini kerana bank tersebut menggunakan konsep murabahah (mark-up) yang membolehkan kadar keuntungan tersebut menjadi tetap.

Nama produk-produk perbankan Islam untuk individu yang ditawarkan di Singapura boleh didapati di dalam kotak di bawah. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi bank-bank tersebut.

 

Nama Bank di Singapura Produk Islam Individu Yang Ditawarkan
Maybank Ar Rihla Regular Savings Account – i

I SAVvy Savings Account – i

Savings Account – i

PremierOne Account – i

Foreign Currency Current Account – i

Singapore Dollar Term Deposit – i

Foreign Currency Term Deposit – i

OCBC Al-Wadiah Savings (Debit Card)

Al-Wadiah Savings

Al-Wadiah Current Account (Personal)

CIMB CIMB FastSaver-i Account

CIMB StarSaver-i Account

CIMB Why Wait Fixed Deposit-i Account

 

Dalam satu kajian tempatan antara para siswazah, faktor terpenting dalam pemilihan bank peribadi adalah jaminan keselamatan wang dari Perbadanan Insurans Deposit Singapura (SDIC), keinginan untuk bank menawarkan perkhidmatan elektronik yang tersedia (Internet banking services) serta penyediaan perkhidmatan (value-added services) yang lebih holistik.

Penulis amat yakin bahawa isu-isu tersebut telah ditangani di dalam pengeluaran produk-produk kewangan Islam bagi individu di Singapura. Ini kerana, yang pertama, bank-bank yang kini menawarkan produk-produk sedemikian bereputasi.  Yang kedua, majoriti produk yang ditawarkan mempunyai akses 24 jam melalui perbankan talian (online banking). Yang ketiga adalah mengenai pengesahan rasmi dari ahli panel Syariah yang muktabar.

Ini penting bagi memaklumkan bahawa dengan sokongan pelanggan untuk memilih kewangan yang patuh Syariah, perniagaan bank yang menawarkan produk Islam akan meningkat. Dengan adanya peningkatan, ia akan membolehkan pihak bank untuk memberi zakat perniagaan sebagai sumbangan jasa kepada masyarakat.

Makanan Halal dan Kewangan yang Berlandaskan Hukum Syarak – Manakah yang Lebih Penting?

Sebahagian besar umat Islam melihat agama hanya berkaitan dengan isu halal dan haram dalam pemakanan. Mereka memberi tumpuan pada status halal makanan, tetapi malangnya, usaha yang sama tidak dikongsikan di dalam status sumber pendapatan dan urusan transaksi kewangan seharian.

Sebagai contoh, orang ramai sangat prihatin bahawa daging yang dimakan harus disembelih dengan mengikut Syarak, tetapi keprihatinan yang sama tidak diberikan kepada sumber wang yang digunakannya. Hal-hal urusan dunia yang lain seperti jual beli, tukar menukar, pinjam dan meminjam, kesemuanya dari perspektif muamalat, tidak diberikan tahap kepentingan yang sama.

Seperti mana makanan halal telah dijamin melalui sijil yang dikeluarkan oleh pihak jawatankuasa, pelbagai urusan niaga seperti simpanan di bank juga perlu diberikan pertimbangan yang sama.

Ia adalah penting untuk umat Islam menyedari bahawa menjadi seorang Muslim yang sempurna tidak hanya meliputi perbuatan ibadah dan apa yang halal atau haram dalam hal makanan. Sebaliknya, kesucian sumber pendapatan juga merupakan kriteria yang amat penting. Terutamanya bila riba telah disebut dan dikutuk di dalam beberapa ayat al-Quran dan juga disebutkan di dalam banyak hadis. Ilmu tersebut boleh didapati di dalam bidang fiqh muamalat dan usul fiqh.

Akhir kata, kesucian dan kebebasan daripada riba di dalam sumber pendapatan seseorang adalah amat penting. Tambahan pula, dengan adanya pelbagai produk-produk perbankan Islam untuk individu yang ditawarkan di Singapura, ini adalah masa yang sesuai dan tepat bagi seorang Muslim di Singapura untuk memilih perbankan Islam dan bukan perbankan konvensional bagi meningkatkan ekonomi negara kita.


 

Rencana ini ditulis dan disemak oleh ketiga-ketiga penulis ini:

Puan Shabana M. Hasan[1]

[1] Shabana M. Hasan, Perunding Kewangan Islam dari Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) yang berpusat di Malaysia. Dia boleh dihubungi di [email protected]

Ustaz Muhammad Murtadha Bin Mustafa[2]

[2] Muhammad Murtadha Bin Mustafa, Perunding Kewangan Islam dari Ascent Islamic. Dia boleh dihubungi di [email protected]

Ustaz Fazrihan Duriat[3]

[3] Fazrihan Duriat, Penasihat Bagi Persatuan Perniagaan & Kewangan Islam (IBFS) di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) serta ahli Penasihat Syariah Kewangan (FSAC) di bawah Pergas Investment Holdings. Dia boleh dihubungi di [email protected]


Advertisement

Subscribe to our free newsletters to get Events, Infaq and Mufti live updates.
Invalid email address
We promise not to spam you. You can unsubscribe at any time.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.