‘Superstar’ baru muzik Islam

0
1,422 views
Subscribe to our free newsletters to get Events, Infaq and Mufti live updates.
Invalid email address
We promise not to spam you. You can unsubscribe at any time.

Taken from Berita Harian – Sep 15 2010

Written in Malay

Oleh Muhammad Salihin Sulaiman

PENYANYI, produser dan penggubah lagu, Maher Zain, boleh diibaratkan sebagai bintang baru dalam dunia muzik Islam moden.

Selain berunsur hiburan, lirik yang terkandung dalam lagu-lagunya penuh makna dan inspirasi, selain bertujuan menyebarkan mesej kedamaian dunia.

Maher, 28 tahun, merupakan warga Sweden daripada keturunan keluarga Lebanon. Dalam bidang pelajaran, beliau memiliki Sarjana Kejuruteraan Nautika.

Pengalamannya luas sebagai penerbit muzik serta pernah bekerja di samping selebriti terkenal seperti Lady Gaga, RedOne dan juga mendiang Michael Jackson.

Album Thank You Allah dilancarkan pada November 2009 dan membariskan 13 lagu, di bawah label Awakening Records yang merupakan syarikat rakamannya. Dalam rangkaian Facebooknya, kini hampir mencapai 400,000 penggemar.

Dalam laman YouTube juga boleh didapati lagu-lagu Maher yang popular di kalangan pelungsur alam maya. Hampir dua juta telah menonton klip-klip videonya seperti Palestine Will Be Free, Insha Allah (versi Inggeris, Arab, Turkey dan Perancis) dan The Chosen One.

Meninggalkan kerjaya yang begitu lumayan dalam industri muzik di New York di mana beliau berkesempatan bekerja rapat dengan produser-produser ternama serta artis seperti Akon, Lady Gaga dan Enrique Inglesias (hanya menyebut beberapa nama), Maher memilih muzik yang menjadi refleksi latar belakangnya iaitu Eropah, Arab dan juga Muslim.

Beliau juga bertugas dengan Awakening Records (yang telah melancarkan karier penyanyi Britain, Sami Yusuf) untuk memberi inspirasi kepada belia dunia.

Awal tahun ini, album sulungnya itu menjadi album paling laris di Amazon.com dalam segmen muzik dunia.

Maher sudah pun mengadakan konsert di Sweden, Canada, Australia, Amerika, Britain, Perancis, Mesir, Algeria dan juga Bahrain.

Dengan kecintaan mendalam dalam arena muzik di samping bakat yang luar biasa dan gaya yang unik, kerjayanya berkembang dengan pesat sekali.

Inspirasinya dalam muzik sebenarnya lahir daripada ayahnya, seorang penyanyi yang sering membuat persembahan di sekitar kota indah Tripoli, Lebanon.

Terpikat dengan alat-alat muzik, Maher dihadiahkan kibodnya yang pertama semasa umurnya mencecah 10 tahun.

Sewaktu zaman universiti, beliau juga sering pulang lewat kerana minatnya yang begitu mendalam dalam muzik. Di universiti, beliau akan menyanyi, mencipta lagu dan bereksperimen pelbagai teknik pembikinan muzik.

Semasa menceburi bidang muzik sebagai produser inilah, Maher diperkenalkan kepada RedOne, produser muzik yang kian meningkat di Sweden.

Dengan pengalaman bertugas di samping RedOne, Maher kemudian berhijrah ke New York.

Di kota metropolitan inilah, beliau lebih terdedah kepada industri muzik antarabangsa dan berpeluang bekerja rapat dengan beberapa artis terkemuka.

Ini merupakan kerjaya impiannya untuk seorang yang muda dalam bidang bisnes yang penuh glamor. Beliau memang meminati muzik tapi dirasakan keadaan di sekelilingnya seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Jadi, awal tahun lalu, Maher mengambil keputusan untuk menerbitkan sebuah album yang mencerminkan identiti beliau yang sebenar – Arab, Eropah dan Muslim – sebelum menandatangani kontrak bersama Awakening Records.

Album pertamanya bukan saja menjadi nombor satu di carta Amazon.com, malah menduduki tangga kesembilan dalam carta R&B.

Januari lalu, dalam pertandingan muzik anjuran Nujoom FM (stesen radio Mesir terbesar), lagu Ya Nabi Salam Alayka telah dinobatkan sebagai lagu terbaik bagi tahun lalu.

Ini sekali gus menempatkan Maher sebagai superstar muzik Islam yang begitu pantas meningkat.

Album Maher mempunyai campuran rentak R&B dengan sentuhan tradisional, kerohanian, soul dan juga kontemporari muzik pop. Dari segi kerohanian dan ketuhanan, ia mudah menyentuh jiwa pendengar dengan elemen klasik yang memiliki keluarbiasaan yang mengagumkan.

Lebih unik lagi, album berkenaan dirakamkan di tujuh studio berlainan yang terletak di Istanbul, Mesir, Stockholm dan juga Mississauga di Canada.

Maher turut menyumbangkan beberapa lirik dalam album ini seperti lagu Barakallahu lakuma, Thank You Allah dan Ya Nabi Salam Alayka. Sebuah lagu yang berbahasa Arab dan Urdu turut dimuatkan. Lagu Allahi Allah Kiya Karo juga menampilkan penyanyi Irfan Makki.

Nama Maher kini mengharum dengan begitu pantas sekali dan muziknya juga dikenali sebagai islamik moden dengan vokal yang membuat pendengar mudah terpengaruh.

Single dan muzik video animasi yang berjudul Palestine Will Be Free dan muzik video Insha Allah dirakamkan di London dan mendapat sentuhan pengarah Britain, Mike Harris, yang pernah bekerjasama dengan Coldplay dan Madonna.

Selain itu, video The Chosen One – yang mengisahkan ajaran Nabi Muhammad saw – dirakamkan di Los Angeles dan merupakan antara klip video yang popular di YouTube.

Melihat ke hadapan, Maher dijangka mampu membawa muzik Islam ke satu tahap yang baru kepada audiens yang lebih luas.

Dengan mesej lagu-lagu yang berkisar kepada kebesaran Yang Maha Esa yang digabungkan dengan elemen R&B, pop, irama Arab dan Turkey di samping susunan muzik yang lebih berani, tidak mustahil juga Maher dapat ‘menawan’ para peminatnya di Malaysia dan Singapura pada masa terdekat ini.

Subscribe to our free newsletters to get Events, Infaq and Mufti live updates.
Invalid email address
We promise not to spam you. You can unsubscribe at any time.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.