Asatizah Singapura perolehi PhD pertama dalam jurusan Islamic Governance

0
5,515 views
Subscribe to our free newsletters to get Events, Infaq and Mufti live updates.
Invalid email address
We promise not to spam you. You can unsubscribe at any time.

Baru-baru ini seorang asatizah Singapura telah memperolehi PhD dalam bidang Urus Tadbir Negara mengikut Islam (Islamic Governance). Ustaz Dr. Abdul Halim Abdul Karim menerima ijazah PhD ini dibulan November 2020 selepas pengajiannya selama tiga setengah tahun di Institut Kajian Dasar, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Ternyata melalui institut tersebut, program PhD in Islamic Governance yang ditawarkan oleh UBD ialah satu-satunya program bidang Urus Tadbir Negara mengikut Islam yang pernah ditawarkan di seluruh dunia sekarang ini. Maka Ustaz Dr. Abdul Halim lah yang pertama sekali memperolehi ijazah Kedoktoran dalam bidang pengkhususan ini.

Latar Belakang Pendidikan

Ustaz Dr. Abdul Halim seorang yang latar-belakang pendidikannya sarat dengan kepelbagaian bidang (multi-discipline). Beliau terdedah kepada bidang-bidang Sains (Physical Sciences), Kesenian, Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (Arts, Social Sciences and Humanities), dan Perniagaan (Commerce) serta juga dalam bidang teknologi informasi (Information Technology).

Beliau memperolehi diploma dalam bidang Sains Komputer dan diploma pasca-sarjana (post-graduate) dalam bidang Pendidikan serta LCCI dalam bidang Perakaunan (Accounting) dan adalah seorang pentadbir ilmu yang bertauliah (Certified Knowledge Manager).

Beliau berkelulusan sarjana honours (kepujian) dalam bidang falsafah di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dengan penyelidikan tentang ahli pemikir Islam Andalusia bernama Ibn Rushd. Tesisnya mengkaji tentang penyelerasan antara hukum ‘aqal dan wahyu. Tajuk tesisnya ialah Averroes on Reason and Revelation.

Ia adalah tesis honours pertama mengenai falsafah Islam yang pernah diselidiki di NUS. Beliau juga berkelulusan Masters dalam perbandingan agama dan falsafah. Tesisnya adalah yang pertama di peringkat Masters di NUS yang mendalami perbandingan falsafah dan agama di antara Islam dan falsafah Cina khususnya falsafah Taoisme.

Khususnya, tesis Masters itu membuat kajian perbandingan di antara pemikiran ulama Tasawwuf terulung, Ibn Arabi dan ahli falsafah Cina Kuno bernama Zhuang Zi tentang kewujudan (Ontology), keIlmuan (Epistemology) dan Akhlaq (Ethics). Tajuk tesisnya itu adalah Ibn Arabi and Zhuang Zi: The Attainment of the Absolute.

Oleh sebab keilmuannya dalam falsafah Islam dan falsafah perbandingan serta latar-belakang pengajian Islamnya (sejak kecil lagi beliau hadir kelas agama mingguan di Madrasah Aljunied kelolaan al-Mas), pada sekitar tahun 1994, Ustaz Dr. Abdul Halim dilantik sebagai tenaga pengajar di Madrasah Mingguan Pergas oleh President Pergas pada masa itu, Al-Marhum Ustaz Abu Bakar Hashim.

Maka, selama beberapa tahun dibawah bimbingan Al-Marhum Ustaz Abu Bakar, Ustaz Dr. Abdul Halim mengajar beberapa mata pelajaran termasuk Tasawwur Islam, Aqidah Islam, Tamaddun Islam, Sejarah Khulafa’ Rashidun, Pemikiran Islam, Falsafah Pendidikan Islam dan Ekonomi Islam dari peringkat Sijil Pengajian Islam (SPI) hingga ke peringkat Diploma Pengajian Islam kelolaan Madrasah Pergas.

Beliau juga pernah mengajar di instutisi pendidikan tempatan, Al-Andalus dan Al-Zuhri. Menariknya, Ustaz Dr. Abdul Halim banyak membentangkan kertas-kerja dalam pelbagai bidang dipersada dunia selaras dengan latar belakang pendidikan beliau.

Satu contoh kertas-kerja beliau ialah pembentangan di Konferens Pemikiran Tamaddun Cina, Konfusius, di Jakarta.  Kertas-kerja dalam bahasa Melayu ini menjelaskan satu analisis perbandingan antara konsep Akhlaq (dalam Islam dan Dé) أخلاق (德) dalam ‫pemahaman falsafah Konfusius.

Kertas kerjanya boleh dimuat turun melalui pautan ini:

Cabaran

Pada mulanya, ada sedikit kebimbangan kerana Ustaz Dr. Abdul Halim tidak dapat perolehi apa-apa bantuan kewangan dari mana-mana pihak. Tetapi dengan wang simpanannya sendiri dan berkat doa ibu serta sokongan pelajar-pelajar, Alhamdulillah, beliau dapat mengharungi masalah kewangannya.

Masalah ini lebih meruncing apabila wabak Covid-19 turut menjejas Negara Brunei Darussalam. Mujur di Negara Brunei jangkitan wabak itu dapat dikawal dengan baiknya dibawah kepimpinan Kebawah Duli Sultan Hassanal Bolkiah.

Yang menjadi cabaran ialah mengenai penyelidikan pembelajaran sendiri. Cabarannya ialah meleraikan kerumitan permaslahan bagaimana negara Islam dapat diurus tadbir dengan menyahut cabaran-cabaran perekonomian yang berteraskan ilmu (Knowledge-Based Economy) dan revolusi perindustrian (IR 4.0) selaras dengan nilai-nilai ekonomi dari sudut Islam (Iktisad).

Tambahan pula, kesemua ini diselidiki dalam kerangka Maqasid Syariah dengan mengambil iktibar daripada pemikir ulung Islam, Ibn Khaldun. Tesis Ustaz Dr. Abdul Halim bertajuk “The Knowledge Based Economy in an Islamic System of Governance: The Khaldunian Perspective” dapat meleraikan permasalaahan ini secara tuntas dengan tumpuan analisanya kepada tuntutan Hifz al-‘Aql dan Hifz al-Mal.

Apa Rancangan Anda Seterusnya?

Menjawab pertanyaan di atas, Ustaz Dr. Abdul Halim berharap dapat menyumbang ke arah melahirkan strategi menangani cabaran perekonomian dan urus tadbir negara dengan mengambil kira cara urus tadbir negara dari sudut pandangan Islam.

Malah, ujarnya lagi, dalam suasana pandemik sekarang ini, kerajaan-kerajaan dan pemikir ekonomi dunia sedang mencari-cari cara alternatif daripada Ekonomi Barat Keynesian dalam usaha mencerahkan keadaan tidak menentu sekarang. Analisa dari sudut Pandangan Alam Islam (Islamic Worldview) boleh menyumbang ke arah usaha ini, insyaAllah.

Menzahirkan Kesyukuran

Merakamkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada penyelianya, Ustaz Dr. Abdul Halim berkata, “Saya amat bersyukur kepada Allah swt dapat terus menjadi talibul-ilm (pelajar), bersyukur kepada ibu saya yang tidak putus-putus mendoakan saya dan juga kepada para pelajar saya yang turut menyokong. Dan saya juga mahu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada penyelia saya yang pakar dalam bidang Islamic Governance yang telah banyak membimbing saya, iaitu Prof. Amin Bin Pehin Abdul Aziz.”

 

Subscribe to our free newsletters to get Events, Infaq and Mufti live updates.
Invalid email address
We promise not to spam you. You can unsubscribe at any time.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.